Usah Membangau Lagi!

bismillah

Ya Salam Ya Allah

Alhamdulillahi Robbil Alamin, Allahumma Solli A’la Saidina Muhammad Wa A’la Alihi Wasohbihi Wabarik Wasallim.

Alhamdulillah, bersyukur dipertemukan dengan sahabat-sahabat yang budiman dalam program Profesional Learning Facilitator yang lepas.

Melaluinya kami banyak belajar bagai sebuah keluarga untuk menambah nilai  antara satu sama lain. Alhamdulillah, selama tiga hari kami “disekolahkan” dalam program PLF.

Sifu Mohd Rizal, yang senang dipanggil “Rizal” sangat disenangi di kalangan kami dan pesanan yang dipasak dan ditanam pada diri kami adalah “Usah membangau lagi!”.

Bersama Sifu Rizal

Jika diteliti terkandung banyak maksud tersurat dan tersirat dalam kata-kata “Usah membangau lagi”

Izinkan saya berkongsi pengajaran tersurat yang saya belajar semalam tentang “Usah Membangau lagi”.

Professional Learning Facilitator program

Setiap saat adalah pilihan dan kitalah yang memilihnya.

Setiap orang ada impian yang hendak dicapai. Bila kita sudah memilih impian kita, kita berusaha untuk buat yang terbaik untuk capai impian kita.

Adakah kita masih berjihad dalam mencapai impian kita? Ataupun kita takut untuk mencipta impian?

Apakah yang menyebabkan kita berhenti untuk tidak meneruskan impian kita? Adakah ketakutan yang menyebabkan kita berhenti? Ataupun takut apa orang lain kata?

Ataupun adakah pengalaman ngeri yang menyebabkan kita tidak mahu meneruskan impian kita? Atau kita sudah putus asa?

Adakah kita masih mahu menyalahkan orang lain atau situasi sukar yang kita lalui?

Apa jua jawapan yang kita berikan, itu adalah “Bangau” yang kita wujudkan. Semuanya berbalik kepada diri kita.

Tiada yang mampu mengubah situasi kita melainkan diri kita sendiri. Jadi belajar untuk hentikan segala alasan, kerana alasan itu adalah “Bangau” yang kita wujudkan sebagai penghalang.

bersama sahabat professional Learning Facilitator program

bersama sahabat professional Learning Facilitator program

bersama sahabat professional Learning Facilitator program

Perkongsian beliau pada hari yang ketiga menambahkan lagi getar kami untuk terus melangkah dan bertindak dalam mengajak diri kita serta orang lain dalam berkongsi manfaat dalam mencapai objektif hidup yang jelas.

Bukankan Allah bersama kita? Perjuangan harus diteruskan. Lahawlawala quwwata illa billah…

Katakan dengan orang di sebelah anda “Usah Membangau lagi!”

bersama sahabat professional Learning Facilitator program

Professional Learning Facilitator workbook

sahabat professional Learning Facilitator program

sahabat professional Learning Facilitator program

Mohon doakan kami semuanya agar kami berjaya mencapai impian untuk berkongsi ilmu yang bermanfaat buat ummah agar Allah redha dengan kami dan Rasul redha kami sebagai umat Baginda.

Moga tulisan ini memberi inspirasi dan manfaat buat anda. Jika ada sebarang pertanyaan boleh taip di ruangan komen.

Ataupun jika ada sebarang teguran buat saya mahupun cadangan untuk manfaat orang ramai, silakan Insya Allah.

Mengundang Kesenangan dengan Bersyukur

bismillah

Ya Salam Ya Allah

Alhamdulillahi Robbil Alamin, Allahumma Solli A’la Saidina Muhammad Wa A’la Alihi Wasohbihi Wabarik Wasallim.

Bacalah dengan penghayatan, wahai sahabat-sahabat budiman yang disayangi Allah dan Rasul

Kisah Penjual Suratkhabar

Pagi itu penjual surat khabar itu berteduh di tepi kedai. Sejak subuh hujan turun lebat sekali, seakan tidak membenarkannya melakukan aktiviti jualan akhbarnya seperti biasa.

Terbayang di fikiranku, tidak ada satu sen pun wang yang akan penjual itu perolehi seandainya hujan tidak berhenti. Namun, kegagalan yang kurasakan ternyata tidak nampak sedikitpun di wajah Penjual Surat Khabar itu.

Hujan masih terus turun. Si penjual surat khabar masih tetap duduk di tepi kedai itu sambil tangannya memegang sesuatu. Nampaknya seperti sebuah buku.

Kuperhatikan dari jauh, lembar demi lembar dia baca. Awalnya aku tidak tahu apa yang sedang dibacanya. Namun perlahan-lahanku dekatinya, ternyata Kitab Suci Al-Quran yang dibacanya.

Lalu salam diberi; “Assalamu ‘alaikum”
Penjual surat khabar: “Waalaikum salam”

“Bagaimana jualan surat khabarnya tuan?” …
Penjual surat khabar: “Alhamdulillah, sudah terjual satu.”

“Wah susah juga ya kalau hujan begini” …
Penjual surat khabar: “Insya Allah adalah rezekinya.”

“Terus, kalau hujannya sampai lewat petang?”
Penjual surat khabar: “Itu maksudnya rezeki saya bukan jualan surat khabar, tapi boleh banyak berdoa.”

“Kenapa?”
Penjual surat khabar: “Bukankah Rasulullah SAW pernah besabda, ketika hujan adalah waktu mustajab untuk berdoa. Maka, kesempatan berdoa itu dipanggil rezeki juga.”

“Jadi, kalau tidak dapat wang, bagaimana?”
Penjual surat khabar: “Bererti, rezeki saya adalah bersabar”

“Kalau tidak ada yang boleh dimakan”? …..
Penjual surat khabar: “Bererti rezeki saya berpuasa”

“Kenapa tuan boleh berfikir seperti itu?”
Penjual surat khabar: “Allah Subhanahuwa Ta’ala yang memberi rezeki. Apa saja rezeki yang diberikan-Nya saya syukuri. Walaupun jualan surat khabar tidak laku, dan harus berpuasa, Alhamdulilah, saya tidak pernah kelaparan” – katanya sangat ikhlas menutup bicara kata…

hujan rahmat seperti rezeki yang mengalir

Hujan pun reda. Si penjual surat khabar bersiap-siap untuk terus melakukan aktiviti jualannya. Ia pun pergi sambil memasukkan Al-Quran ke dalam begnya.

Aku termenung… tanpa kusedari cermin mataku menjadi gelap kerana bercucuran air mataku. Aku tersedar dan terpukul dengan kata-kata penjual surat khabar jalanan.

Ada penyesalan di dalam hatiku. Kenapa kalau hujan aku masih resah-gelisah. Adakah aku khuatir tidak mendapat wang?, Risau baju di sidaian basah? Atau merungut dalam jem disebabkan hujan? Ataupun keluh kesah tidak boleh dapat pelanggan yang mahu membeli barang jualan?

Aku tertunduk malu. Seperti Allah mahu sampaikan teguran buatku, bahawa rezeki bukan wang semata-mata. Tatkala kita mampu bersyukur saat di uji adalah satu nikmat yang besar. Kita belajar untuk mengatakan:

“Ya Allah aku bersyukur dengan setiap langkahku, hatta dengan ujian yang Engkau datangkan, kerana aku ingin membalas-Mu dengan kata-kata tuturku yang membuatkan Engkau senang dan Redha denganku”

Sahabat-sahabat kesayangan…

Bila kita mampu bersyukur saat di uji, adalah jauh lebih bermakna dan tatkala itu Allah dengan kasih-Nya menaburkan ketenangan dalam jiwa yang tak terjangkau dek akal.

Saat itu kita mahu segera bersujud kepada-Nya, merebahkan diri pada-Nya atas nikmat bahagia, rasa kasih-Nya. Hanya ucapan Alhamdulillah berkali-kali menerobos ke dalam jiwa yang dahaga dan rindu pada Ilahi…Alhamdulillah

Moga tulisan ini memberi inspirasi dan semangat untuk kita terus bersyukur saat di uji. Jika ada sebarang pertanyaan boleh taip di ruangan komen.

Ataupun jika ada sebarang teguran buat saya mahupun cadangan untuk manfaat orang ramai, silakan Insya Allah.

Kenapa Kita Diuji?

bismillah

Ya Salam Ya Allah

Alhamdulillahi Robbil Alamin, Allahumma Solli A’la Saidina Muhammad Wa A’la Alihi Wasohbihi Wabarik Wasallim.

Perjalanan hati adalah kembara mencari ilmu menuju Allah. Hati mengembara kepada satu stesen ke stesen. Yang akhirnya hakikat ilmu itu untuk mengenal ilah, mengenal Allah. Hati tempat pandangan Allah.

Bila Allah beri tawaran pada kita di alam roh, dunia menjadi tempat ujian untuk Allah melihat siapa yang lebih baik di antara kita untuk mencari redhaNya.

Lalu tahukah kita sebenarnya kita yang memilih untuk berada di alam dunia melalui fasa di alam rahim ibu kita, adalah fasa pertama?, pertanyaan seorang guru menyebabkan kita menundukkan diri.

Kita bukan terpaksa, kita yang bernama manusia yang memilih untuk hidup di dunia yang sementara untuk di uji. Sedarkah kita dunia adalah tempat ujian?

Barangkali kita tidak sedar, lalu kita persoalkan kepada Allah kenapa kita sering di uji? Allah hu… Ampunkan dosa-dosa kami semuanya Ya Allah.

Bagaikan satu tamparan kesedaran, tatkala kita membaca firman-Nya yang bermaksud:

“Dan tiadalah kehidupan dunia ini selain daripada main-main dan senda gurau belaka. Dan sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertaqwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?”  (Al-An’am: ayat 32)

Allah tak pernah zalim, tapi manusialah yang sering menzalimi diri kita sendiri. Barangkali kita sebenarnya tidak beradab dengan Allah bila kita sering merungut dan salahkan situasi hidup. Sudah berapa lama Allah dengan sifat yang Maha Sabar menunggu perubahan sikap kita.

Malah bukit dan langit tidak mahu terima amanah untuk jadi khalifah di bumi, kerana takut tidak lepas  ujian di dunia.

“Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanat kepada langit, bumi dan gunung-ganang; tetapi semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuatir tidak akan dapat melaksanakannya (berat), lalu manusia pun memikul amanah itu. Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan sangat jahil.” (Al-Ahzab: ayat 72)

langit mendung mahu hujan

Kitalah yang bernama manusia yang sedang membaca entri ini telah memilih untuk di hantar ke dunia untuk di uji. Dan Allah mahu melihat siapakah di antara kita yang benar-benar mahu berkehendakkan Allah dan mencari redha-Nya.

Malah guru mursyid berpesan, nafs-nafs dalam diri dicipta untuk ujian kita di dunia. Melaluinya kita belajar untuk mencari yang haq, mencari kebenaran.

Dunia ini adalah perjalanan hati untuk kenal ilah, kenal Allah dan akhirnya kita menanti saat pertemuan dengan-Nya. Tidakkah kita mengerti?

Kita perlu ada mujahadah, keinginan mahu beri manfaat kepada umat agar Allah redha dengan kita. Menyampaikan walaupun dengan sepotong ayat. Allah pilih kita untuk melakukan kebaikkan-Nya sebab Allah tahu kita ada keinginan dan semangat itu, sebab tu Allah pilih kita. Adakah kita sudah tidak mahu peduli atas rasa percaya Allah pada kita?

Pesan guru lagi, jangan biarkan musuh-musuh Allah hanyutkan dan binasakan kita. Jangan menyerah kalah di arena pentas dunia ini, bangun dan bangkit dengan kekuatan dari Allah untuk junjung amanah Allah ini. Lahawlawala quwwata illa billah…

Akhir kalam,  Pelajarilah, carilah, tuntutilah Lailaha illallah (tiada ilah melainkan Allah) – Surah Muhammad : ayat 19

pelajarilah, ketahuilah, carilah, tuntutilah La ilaha illallah

Moga tulisan ini memberi inspirasi dan semangat untuk kita berhadapan dengan ujian. Jika ada sebarang pertanyaan boleh taip di ruangan komen.

Ataupun jika ada sebarang teguran buat saya mahupun cadangan untuk manfaat orang ramai, silakan Insya Allah.

 

Mengapa Perlu Memaafkan?

bismillah

Ya Salam Ya Allah

Alhamdulillahi Robbil Alamin, Allahumma Solli A’la Saidina Muhammad Wa A’la Alihi Wasohbihi Wabarik Wasallim.

Artikel ini di tulis tatkala menerima kiriman soalan daripada salah seorang pembaca buku Bersama Kesusahan Ada Kesenangan.

Soalan : Jika orang yang kita telah maafkan berkali-kali tetap mengulangi kembali kesalahan yang sama pada kita, adakah kita perlu untuk menerima dan melupakan kesemua kesalahan yang pernah dilakukan?

orang sedang berfikir

Bayangkan kita berada dalam situasi di atas. Bagaimana ye? Benar, ia amat perit, apatah lagi kesalahan itu menyebabkan kita jadi geram dan timbul perasaan marah yang tidak boleh kita padam.

Barangkali kita mampu memaafkan dan melupakan segalanya? Ataupun barangkali kita mampu memaafkan tapi tidak mampu lupakannya.

Soalnya kenapa? Kita pilih yang mana?

Ia akan berbalik kepada hati kita. Ini soal hati. Hati yang bagaimana kita mahu miliki? Sebelum kita memilih jawapan itu… Tarik “hand brake”, kemudian istighfar dulu…

Kemudian tanyakan soalan ini pada diri kita, jika kita mahu maafkan dia kerana siapa?

Adakah sebab kita terpaksa maafkan?

Atau kita nak maafkan sebab kita nak gembirakan Allah? Bila kita belajar untuk maafkan kerana Allah sebab apa? Sebab kita nak berusaha menjaga hati kita. Sebab hati menjadi tempat pandangan Allah.

Lalu kita berbicara pada-Nya. Katakan dengan bersungguh-sungguh dan menangis di hadapan-Nya:

“Ya Allah, aku sedar dan mengaku aku sukar untuk maafkannya, ataupun bila aku sudah maafkannya, tapi aku masih teringat-ingat perbuatan buruk yang telah di lakukan ke atas ku. Ya Allah, kepada-Mu aku mengadu kelemahanku, kekurangan daya upayaku dalam memaafkan orang lain. Engkaulah Robbku!

Kepada siapakah Engkau menyerahkan diriku ini. Aku nak belajar memaafkan dia sebab nak gembirakan Engkau Ya Allah. Kalau situasi ini yang menyebabkan Engkau nak aku belajar untuk lebih kenal sifat kasih-Mu Yang Maha Pengampun, pimpinlah daku. Jangan tinggalkan aku.

Janganlah Engkau murka padaku. Redhalah hamba-Mu ini. Kepada Engkaulah aku merayu sehingga Engkau redha denganku. Tiada daya dan upaya untuk aku memaafkan dia melainkan dengan bantuan-Mu”

cahaya matahari bersinar di sebalik awan putih

Kita belajar dari sifat Rasulullah Sallallahu A’laihi wasallam. Bagaimana kaum Taif yang mengejek dan baling batu kepada Baginda sehingga kasut baginda di lumuri darah. Bayangkan bagaimana kesakitan baginda, dilempari dengan kata-kata yang kesat dan disakiti.

Sehinggakan malaikat bersedia untuk meruntuhkan gunung untuk menghempap kaum Taif itu jika Baginda arahkan.

Tetapi Rasulullah Sallallahu a’alaihi wasallam seorang yang amat pengasih lagi belas kasihan. Baginda tidak mahu kaum Taif dilakukan seperti itu. Baginda berbaik sangka dan berharap suatu hari nanti anak-anak kaum Taif ini pasti jadi lebih baik dari kalangan ibu bapa kaum Taif yang tidak mahu menerima dakwah Baginda.

Bayangkan tatkala Baginda balik dalam keadaan yang kesakitan dan berlumuran darah. Baginda berdoa dan menaruh harapan pada Allah. Baginda tidak peduli dengan orang yang seteruk mana Allah nak baginda perlu berhadapan. Tetapi baginda mohon satu, agar Allah sangat redha dengan Baginda.

lihat kemesraan kucing teringat kasihNya Allah

Apa itu redha Allah? Kita nak Allah terima kita sebagai hamba-Nya. Sungguh besar jika Allah memandang kita dengan rasa redha. Sungguh besar! Jika kita faham kita pasti akan merayu-rayu agar Allah terima dan redha dengan kita.

Sebab bila Allah murka dan tidak redha kita. Hidup kita tidak berguna. Jika Allah sudah tidak mahu ambil kisah dengan kita. Hidup ini jadi sia-sia sebab Allah biarkan kita hanyut dengan pilihan kita yang salah. Biarlah dengan orang jenis macam mana pun Allah nak kita berdepan.

Kita berusaha untuk menjaga hati agar Allah redha dengan kita. Bila Allah redha maksudnya kita buat Allah gembira. Bayangkan bila Allah gembira dengan kita, Allah pasti menjaga dan melindungi kita, malah Allah akan cukupkan keperluan kita. Allahu Robbi!

Kepada yg mahu komen dan memberikan  kata-kata semangat pada yang bertanya soalan di atas, silakan… moga Allah berikan kebaikan dan ganjaran kepada yang sudi. Insya Allah.

Kisah Impian Burung Hud-hud

kalimah bismillah

Ya Salam Ya Allah

Alhamdulillahi Robbil Alamin, Allahumma Solli A’la Saidina Muhammad Wa A’la Alihi Wasohbihi Wabarik Wasallim.

Setiap orang pasti mempunyai impian dalam hidup. Anda ada impian? saya ingin mengajak anda menghayati kisah burung Hud-Hud. Ini bukan kisah dongeng . Kisah burung hud-hud ini ada di ceritakan dalam Al-Quran.

Terlalu banyak kisah-kisah yang di paparkan dalam Al-Quran sebagai bekalan manual hidup kita untuk belajar dari kisah yang dirakamkan melalui KalamNya untuk hamba-hambaNya. Yang pasti setiap kisah dalam Al-Quran sangat relevan dari zaman dulu hingga zaman yang moden ini.

burung bebas terbang kejar impian

Perhatikan burung yang terbang di langit. Ia membawa kita berfikir dan mengimbau kisah burung hud-hud ini. Kisah ini di ceritakan dalam Surah Al-Naml ayat 20 hingga 28. Mari kita sama-sama belajar mencari hikmah melalui burung hud-hud ini.

Kisah burung hud-hud yang terlewat dalam perhimpunan yang di adakan oleh Nabi Sulaiman AS. Apabila Nabi Sulaiman AS bertanyakan burung hud-hud di atas kelewatannya.

Hud-hud mengatakan bahawa dia mengetahui tentang sesuatu  yang tidak diketahui oleh Nabi Sulaiman AS iaitu berita dari negeri Saba’ di mana seorang perempuan bernama Balqis telah menyembah matahari dan bukannya Allah sehingga menghalangnya dari jalan Allah.

Lalu Nabi Sulaiman AS mengarahkan burung hud-hud untuk membawa surat untuk disampaikan kepada puteri Balqis.

burung hantar surat cinta

Antara petikan burung hud-hud sebagaimana yang di rakamkan dalam Al-Quran yang bermaksud:

“Aku (burung Hud) dapati dia dan kaumnya menyembah matahari, bukan kepada Allah; dan syaitan telah menjadikan terasa indah bagi mereka perbuatan-perbuatan (buruk) mereka, sehingga menghalang mereka dari jalan (Allah), maka mereka tidak mendapat petunjuk. Mereka (juga) tidak menyembah Allah yang mengeluarkan apa yang terpendam di langit dan di bumi dan yang mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan yang kamu nyatakan. Allah, tidak ada ilah melainkan Allah, Robb yang mempunyai Arasy yang agung.”    (Al-Naml 27: 24-26)

SubhanAllah! Walaupun burung hud-hud ini adalah makhluk Allah yang kecil tetapi dia berimpian besar untuk membantu Nabi Sulaiman AS untuk mencari maklumat dari sebuah negeri.

Walaupun dia tahu bahawa Nabi Sulaiman AS boleh jadi murka dengan kelewatannya sehingga Nabi Sulaiman memberi amaran untuk menyembelihnya sebagai hukuman yang berat kecuali dengan alasan yang jelas.

puteri balqis senyum gembira

Asbab daripada usaha burung hud-hud itu akhirnya Balqis berkata seperti yang termaktub dalam Al-Quran yang bermaksud:

Dia (Balqis) berkata: “Ya Robb, sesungguhnya aku telah berbuat zalim terhadap diriku. Aku berserah diri bersama Sulaiman kepada Allah, Robb seluruh alam”   (Al-Naml : ayat 44)

Terkesima dan terharu dengan sikap burung hud-hud yang berani walaupun dia adalah makhluk yang kecil tetap impiannya untuk mengajak manusia seperti  Balqis untuk kembali kepada Allah, seekor burung yang kecil tetapi mempunyai impian yang besar.

Kisah ini mengajak kita berfikir bahawa, jika dia seorang burung mampu untuk berimpian, maka siapa pun kita dan walau sekecil manapun kita, setiap orang layak berimpian.

Kadang-kadang Allah beri semangat untuk kita lakukan dengan lebih baik apabila melihat burung yang bebas terbang di langit yang tiada keluh kesah.

Impian untuk memberi manfaat kepada seramai umat Muhammad dalam setiap pekerjaan kita agar Allah redha dengan kita.

Moga tulisan ini memberi inspirasi dan manfaat buat anda. Jika ada sebarang pertanyaan boleh taip di ruangan komen. Ataupun jika ada sebarang teguran buat saya mahupun cadangan untuk menghasilkan artikel yang lebih baik untuk manfaat orang ramai, silakan Insya Allah.

Hijrah Tiada Noktah

kalimah bismillah

Ya Salam Ya Allah

Alhamdulillahi Robbil Alamin, Allahumma Solli A’la Saidina Muhammad Wa A’la Alihi Wasohbihi Wabarik Wasallim.

Tahun baru Hijrah 1438H sudah menjengah kita. Begitu cepat masa berlalu. Lalu kita pasti teringat akan kisah penghijrahan Nabi Mulia kita Saidina Muhammad Sallallahu A’laihi Wasallam.

Terlalu banyak pengajaran dari kisah penghijrahan baginda. Adakah kita masih di tahap yang sama?

Bayangkan soalan ini di tanya oleh Rasulullah Sallallahu A’laihi Wasallam  kepada kita, apakah reaksi kita? Allah hu..  Continue reading “Hijrah Tiada Noktah”

Dahsyatnya Rahsia Niat

Bismillah…

Ya Salam Ya Allah

Alhamdulillahi Robbil Alamin, Allahumma Solli A’la Saidina Muhammad Wa A’la Alihi Wasohbihi Wabarik Wasallim.

Izinkan saya berkongsi tentang dahsyatnya niat dalam memulakan sesuatu perkara dalam kehidupan kita setiap hari. Niat merupakan sebahagian dari iman. Niat juga adalah salah satu amalan hati. Niat adalah lintasan dalam hati kepada perbuatan kita itu adalah untuk apa tujuannya. Untuk dunia semata-mata? Ataupun untuk dunia dan akhirat? Continue reading “Dahsyatnya Rahsia Niat”