Dahsyatnya Rahsia Niat

Bismillah…

Ya Salam Ya Allah

Alhamdulillahi Robbil Alamin, Allahumma Solli A’la Saidina Muhammad Wa A’la Alihi Wasohbihi Wabarik Wasallim.

Izinkan saya berkongsi tentang dahsyatnya niat dalam memulakan sesuatu perkara dalam kehidupan kita setiap hari. Niat merupakan sebahagian dari iman. Niat juga adalah salah satu amalan hati. Niat adalah lintasan dalam hati kepada perbuatan kita itu adalah untuk apa tujuannya. Untuk dunia semata-mata? Ataupun untuk dunia dan akhirat?

 Setiap Amal Bergantung Kepada Niat

“Innama A’malu Bin Niat” Sesungguhnya setiap amal pekerjaan itu bergantung kepada niatnya, dan seseorang hanya tercapai sesuai dengan niatnya.

Daripada ‘Umar bin Al-Khattab Radiallah katanya: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:

“Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niat (seseorang itu), dan sesungguhnya bagi setiap manusia apa yang dia niatkan. Maka barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya adalah pada Allah dan Rasul-Nya.

Dan barangsiapa yang berhijrah kepada dunia yang dia ingin mendapatkan habuannya, atau perempuan yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya adalah pada apa yang dia hijrahkan.” (HR. Bukhari Muslim)

hati suci dan tenang

Dahsyatnya Niat

Kenapa sangat penting untuk kita berniat? Apakah kesannya? Contohnya kita ingin menghadiri majlis ilmu seperti kelas membina blog.

Tatkala kita melangkah masuk ke kelas mahupun dalam perjalanan ke sana kita sudah mula berniat. Bayangkanlah ada 50 orang yang hadir dalam kelas tersebut. Barangkali 50 orang itu mendengar perkara yang sama tetapi percayalah kefahaman setiap orang yang hadir itu berbeza dan bergantung kepada niat setiap orang tersebut.

Untuk buat anda lebih faham izinkan saya bercerita tentang kuih karipap. Anda pernah tak makan karipap yang intinya separuh? Apa perasaan anda? Bagaimana pula jika anda menikmati karipap yang enak dengan inti yang penuh? Anda sebagai pelanggan lebih berpuas hati bukan?

Kita cuba kaitkan dengan niat seorang penjual karipap. Sekiranya dia niat hendak gembirakan Allah dan Rasul, pasti Allah mengilhamkan dia untuk menghasilkan karipap yang terbaik dengan inti yang penuh sebab mahu memberi manfaat yang terbaik kepada pelanggan. Penjual karipap itu sedar bahawa Allah saksikan segala perbuatannya.

 

karipap inti penuh yang enak

Untuk lebih mudah saya kongsikan lagi satu situasi. Adakah anda seorang suri rumah? Bayangkan setiap hari anda akan masak nasi bersama lauk buat suami anda. Tetapi suami anda tidak pernah puji keenakkan masakan anda. Pasti kadang-kadang kita rasa penatnya memasak, suami tak pernah nak puji.

Bagaimana pula jika kita niat untuk gembirakan Allah dan Rasul, agar setiap perbuatan kita menyebabkan Allah redha dengan kita? Pasti pandangannya berbeza. Bila kita memandang beras yang sedang dibasuh kita boleh tersenyum sendiri, kerana kita sedar Allah sedang menyaksikan setiap perbuatan kita.

Kita berbicara dengan Allah masa di dapur agar setiap butir nasi itu adalah tanda zikir dan ingatan kita kepada Allah. Agar Allah pandang kita dengan kasihNya dalam setiap butir beras yang kita masak. Percayalah, bila kita istiqamah lihatlah bagaimana kita boleh tenggelam dengan kasih Allah walaupun kita berada di dapur.

Bila suami tidak pernah puji, kita jadi tak kisah sebab kita tidak mengharapkan pujian makhluk. Tetapi kita mengharapkan pandangan kasih Allah. Agar Allah redha dengan kita.

 

isteri gembira senyum

Bila Niat Betul, Allah Cukupkan Keperluan Kita

Kisah seorang kakak yang dalam kehidupannya hanyalah bekerja membasuh pinggan di sekolah asrama. Barangkali kita berfikir tak bosankah kakak ini kerja basuh pinggan. Tapi kakak kelihatan sangat tenang dan bahagia dengan pekerjaannya.

Bila ditanya, lalu dia menjawab; “Alhamdulillah akak suka kerja ini sebab bila basuh pinggan bersih-bersih, anak-anak dalam sekolah asrama ini dapat makan gunakan pinggan yang bersih agar tidak sakit perut. Malah apabila mereka tidak sakit mereka boleh belajar dengan baik. Apabila sudah besar, mereka boleh jadi anak yang berguna kepada bangsa dan Agama.”

Jauh di sudut hatinya, tiada siapa yang tahu kakak ni telah berniat mahu gembirakan Allah dan Rasul. Allah lah yang mengilhamkan kepadanya di atas kebaikan yang di buat walaupun dengan hanya membasuh pinggan di dapur. Dia bahagia, walaupun rumahnya kecil, dia bahagia kerana rahmat dan keberkatan yang Allah limpahkan pada hidupnya.

 

kakak yang baik dan tenang

Bila Allah sudah suka dan berkenan dengan kita, adakah Dia akan biarkan kita? Pasti Allah akan cukupkan segala keperluan hidup kita. Percayalah!

Begitulah bila kita sudah tenggelam dengan kasihNya kita percaya dan yakin akan pertemuan dengan-Nya. Maka setiap perbuatan kita di dunia ini menjadi tempat untuk kita beramal soleh walaupun kita seharian di rumah mahupun di pejabat.

Dengan Niat Setiap Perbuatan menjadi Amal Soleh

Amal soleh ini bukan hanya pekerjaan seperti solat dan mengaji. Tetapi setiap amal perbuatan kita menjadi ibadah jika kita niat dengan betul dan patuhi tauhid. malah sebelum anda membaca entri blog ini anda juga sudah boleh berniat. Moga dengan niat yang betul Allah memandang kita dengan rasa kasih-Nya.

Tetapi kita akui dalam situasi itu, ada kepayahan untuk kita istiqamah, lalu kita mengaku pada Allah betapa kita tak berdaya untuk lakukan setiap kebaikan dengan niat yang betul dan jelas. Kita tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah dalam mentadbir diri kita dengan kasih-Nya.

langit berawan putih

Allah itu Maha Baik, Dia faham situasi kita. Cuma barangkali kita yang jarang untuk berbicara denganNya.

Bayangkan anda sedang di dapur dan kepenatan memasak. Cuba sekali sekala tatkala anda membuka paip air lalu anda katakan; “Ya Allah, moga air yang mengalir ni adalah tanda ingatan aku pada-Mu yang tak pernah putus. Lihatlah hamba dengan pandangan kasih-Mu, Engkau redhalah hamba Ya Allah. Ampunkan dosa hamba jika hamba lalai dalam mengingati-Mu”.

Rasakan sendiri perasaan yang Allah hadirkan tatkala kita berusaha untuk berniat mahu gembirakan Allah dan Rasul. Lalu, banyakkan beristighfar jika kita tidak mampu hendak lakukan kebaikan. Barangkali kita sering mengeluh, banyak sangat dosa kita yang menjadi punca hijab kita tertutup untuk melakukan kebaikkan demi kerana Allah dan Rasul.

“Tugas kamu bukanlah mencari Cinta. Akan tetapi, tugasmu adalah merobohkan tembok di dalam dirimu itu, yang menghalangi kamu daripada mendapat Cinta.” – Maulana Jalaluddin Rumi

al quran dan tasbih

Masih tidak terlambat lagi untuk kita sama-sama betulkan niat. Allah itu Ya Sobur (Maha Penyabar) menunggu hamba-hambaNya kembali dekat kepadaNya walaupun hanya memperbetulkan niat kita.

Sekarang juga kita boleh berniat mahu gembirakan Allah dan Rasul setiap hari agar Allah redha dengan setiap pekerjaan kita. Allah lah nanti yang mengilhamkan kepada kita untuk pandai berbicara. Jangan lupa seawal bangun tidur esok pagi mula berniat setiap hari secara istiqamah. Insya Allah.

“(Allah) Yang Maha Pengasih. Yang telah mengajarkan Al-Quran. Dia menciptakan manusia. Mengajarnya pandai berbicara.”  – Surah Al-Rahman : Ayat 1 – 4

Moga tulisan ini memberi inspirasi dan manfaat buat anda. Jika ada sebarang pertanyaan boleh taip di ruangan komen. Ataupun jika ada sebarang teguran buat saya mahupun cadangan untuk menghasilkan artikel yang lebih baik untuk manfaat orang ramai, silakan Insya Allah.

Author: Era Adlina A. Kadir

Bismillah… Alhamdulillah, Segala puji bagi Allah, Robb yang memiliki sifat ketinggian dan Kebesaran. Selawat dan Salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu A’laihi Wasallam serta kepada para sahabat yang mulia serta seluruh ahli keluarga baginda. Saya bernama Era Adlina berumur 39 tahun. Dahulu saya pernah bekerja sebagai pegawai bank hampir 8 tahun. Alhamdulillah kini lebih selesa bekerja sendiri dari rumah sebagai penulis buku, blogger dan perunding motivasi. Insya-Allah.

3 thoughts on “Dahsyatnya Rahsia Niat”

  1. Wahai anaknda tahniah dah ada blog, semuga sukses dgn apa yg di hajati, supaya lebih menarik pembaca yg di Luar sana di sarankan bagi yg ayat
    Yang berbunyi Arab dapat di adakan dlm tulisan Arab, supaya lebih tepat bunyinya..Dan pasti lebih menarik n nilai tambah.. Jazakallah

    1. Alhamdulillah, terima kasih paksu atas nasihat yang membina. Baiklah era akan masukkan sekali tulisan Arab.
      Jazakumullah Khairan Ka tsiran Wa Jazakumullah Ahsanal Jaza’.
      Semoga Allah membalas dirimu dengan kebaikan yang banyak dengan balasan yang terbaik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge