Jauhi Fitnah !

bismillah

Ya Salam Ya Allah

Alhamdulillahi Robbil Alamin, Allahumma Solli A’la Saidina Muhammad Wa A’la Alihi Wasohbihi Wabarik Wasallim.

Bila kita membaca sesuatu perkara yang tidak baik, jangan terus menuduh, berhati-hatilah, jangan libatkan diri kita dengan orang yang menabur fitnah atau menyebarkan fitnah. Na’uzubilah!

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiklah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. ” – (Surah Al-Hujurat Ayat 6)

Apatah lagi apabila fitnah itu di taburkan ke atas guru yang mulia, yang menolong agama Allah. Di sebabkan fitnah itu, segala kerja dakwahnya di sekat.

beruang kesejukan di bawah pokok yang di liputi salji

Bayangkan seorang guru mursyid yang berusaha nak pergi ke penjara untuk berkongsi ilmu tentang rukun islam pertama tentang Syahadah, tidak meminta apa-apa bayaran, sekadar mahu menolong golongan yang dipenjara yang kosong jiwanya.

Bila saya dengar cerita sahabat yang pernah datang ke penjara, bercerita tentang golongan ini yang kacau jiwanya disebabkan kesalahan yang telah dibuat ditambah lagi dengan keaadaan jiwa yang parah sebab jauh dari keluarga, kita rasa kasihan bukan?

Maka seorang hamba Allah datang mahu berkongsi tentang bagaimana dengan kalimah agung, kalimah La ilaha illallah (ilmu syahadah – rukun islam pertama) dapat bantu untuk mengisi jiwa yang kosong. Pernahkah kita bayangkan perasaan orang yang sedang di penjara, berhari-hari lamanya?

Tetapi kenapa di sekat perjuangan hamba Allah yang mahu membantu golongan sebegini?  Kenapa dihalang dek kerana fitnah buruk tanpa usul periksa ke atas seorang hamba Allah yang mulia hatinya. Jika kita tidak mahu belajar, terpulanglah,  tetapi jangan dihalang!

Bahaya Fitnah

Kesannya, menghalang orang lain yang sangat dahaga dan perlukan nikmat iman, nikmat manisnya iman, nikmat bahagia walaupun berapa di penjara. Salahkah?

Begitulah teruknya bahaya fitnah, sehinggakan Allah menganggap orang yang menabur fitnah bagai memakan bangkai saudaranya sendiri.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari prasangka, kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Sudah tentu kamu merasa jijik. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. (Al-Hujurat : ayat 12)

langit dengan sinar mentari yang terbit

Jangan sampai kerana perbuatan fitnah yang kita rasa betul tapi kita tidak selidik, menyebabkan Allah hapuskan segala amal kita. Berhati-hatilah wahai sahabat-sahabat syurgaku.

“Orang yang kafir dan menghalang-halang (manusia) dari jalan Allah, Allah menghapuskan segala amal mereka”. (Surah Muhammad : ayat 1)

Solatlah istiharah, bertanya kepada Allah sesuatu yang kita tidak pasti. Selidik dahulu sebelum menghukum orang lain tanpa usul periksa. Selidiklah hati kita sebelum kita selidik orang lain. Wallahu’alam.

Ya Robb ! Berilah kekuatan kepada kami untuk terus berjihad dengan pena walaupun kami sedar kami tidak layak. Tapi kami lakukan ini semua demi kerana kasih dan cinta kami kepada-Mu dan Rasul-Mu.

Ampunkan dosa kami umat Nabi mulia kami, Nabi Muhammad Sallallahu A’laihi Wasallam. Maafkan kami semuanya Ya Robb !

Moga tulisan ini memberi inspirasi dan manfaat buat yang sudi membaca. Jika ada sebarang pertanyaan mohon taip di ruangan komen.

Ataupun jika ada sebarang teguran buat saya mahupun cadangan untuk menghasilkan artikel yang lebih baik untuk manfaat orang ramai, silakan Insya Allah.