Mengapa Perlu Memaafkan?

bismillah

Ya Salam Ya Allah

Alhamdulillahi Robbil Alamin, Allahumma Solli A’la Saidina Muhammad Wa A’la Alihi Wasohbihi Wabarik Wasallim.

Artikel ini di tulis tatkala menerima kiriman soalan daripada salah seorang pembaca buku Bersama Kesusahan Ada Kesenangan.

Soalan : Jika orang yang kita telah maafkan berkali-kali tetap mengulangi kembali kesalahan yang sama pada kita, adakah kita perlu untuk menerima dan melupakan kesemua kesalahan yang pernah dilakukan?

orang sedang berfikir

Bayangkan kita berada dalam situasi di atas. Bagaimana ye? Benar, ia amat perit, apatah lagi kesalahan itu menyebabkan kita jadi geram dan timbul perasaan marah yang tidak boleh kita padam.

Barangkali kita mampu memaafkan dan melupakan segalanya? Ataupun barangkali kita mampu memaafkan tapi tidak mampu lupakannya.

Soalnya kenapa? Kita pilih yang mana?

Ia akan berbalik kepada hati kita. Ini soal hati. Hati yang bagaimana kita mahu miliki? Sebelum kita memilih jawapan itu… Tarik “hand brake”, kemudian istighfar dulu…

Kemudian tanyakan soalan ini pada diri kita, jika kita mahu maafkan dia kerana siapa?

Adakah sebab kita terpaksa maafkan?

Atau kita nak maafkan sebab kita nak gembirakan Allah? Bila kita belajar untuk maafkan kerana Allah sebab apa? Sebab kita nak berusaha menjaga hati kita. Sebab hati menjadi tempat pandangan Allah.

Lalu kita berbicara pada-Nya. Katakan dengan bersungguh-sungguh dan menangis di hadapan-Nya:

“Ya Allah, aku sedar dan mengaku aku sukar untuk maafkannya, ataupun bila aku sudah maafkannya, tapi aku masih teringat-ingat perbuatan buruk yang telah di lakukan ke atas ku. Ya Allah, kepada-Mu aku mengadu kelemahanku, kekurangan daya upayaku dalam memaafkan orang lain. Engkaulah Robbku!

Kepada siapakah Engkau menyerahkan diriku ini. Aku nak belajar memaafkan dia sebab nak gembirakan Engkau Ya Allah. Kalau situasi ini yang menyebabkan Engkau nak aku belajar untuk lebih kenal sifat kasih-Mu Yang Maha Pengampun, pimpinlah daku. Jangan tinggalkan aku.

Janganlah Engkau murka padaku. Redhalah hamba-Mu ini. Kepada Engkaulah aku merayu sehingga Engkau redha denganku. Tiada daya dan upaya untuk aku memaafkan dia melainkan dengan bantuan-Mu”

cahaya matahari bersinar di sebalik awan putih

Kita belajar dari sifat Rasulullah Sallallahu A’laihi wasallam. Bagaimana kaum Taif yang mengejek dan baling batu kepada Baginda sehingga kasut baginda di lumuri darah. Bayangkan bagaimana kesakitan baginda, dilempari dengan kata-kata yang kesat dan disakiti.

Sehinggakan malaikat bersedia untuk meruntuhkan gunung untuk menghempap kaum Taif itu jika Baginda arahkan.

Tetapi Rasulullah Sallallahu a’alaihi wasallam seorang yang amat pengasih lagi belas kasihan. Baginda tidak mahu kaum Taif dilakukan seperti itu. Baginda berbaik sangka dan berharap suatu hari nanti anak-anak kaum Taif ini pasti jadi lebih baik dari kalangan ibu bapa kaum Taif yang tidak mahu menerima dakwah Baginda.

Bayangkan tatkala Baginda balik dalam keadaan yang kesakitan dan berlumuran darah. Baginda berdoa dan menaruh harapan pada Allah. Baginda tidak peduli dengan orang yang seteruk mana Allah nak baginda perlu berhadapan. Tetapi baginda mohon satu, agar Allah sangat redha dengan Baginda.

lihat kemesraan kucing teringat kasihNya Allah

Apa itu redha Allah? Kita nak Allah terima kita sebagai hamba-Nya. Sungguh besar jika Allah memandang kita dengan rasa redha. Sungguh besar! Jika kita faham kita pasti akan merayu-rayu agar Allah terima dan redha dengan kita.

Sebab bila Allah murka dan tidak redha kita. Hidup kita tidak berguna. Jika Allah sudah tidak mahu ambil kisah dengan kita. Hidup ini jadi sia-sia sebab Allah biarkan kita hanyut dengan pilihan kita yang salah. Biarlah dengan orang jenis macam mana pun Allah nak kita berdepan.

Kita berusaha untuk menjaga hati agar Allah redha dengan kita. Bila Allah redha maksudnya kita buat Allah gembira. Bayangkan bila Allah gembira dengan kita, Allah pasti menjaga dan melindungi kita, malah Allah akan cukupkan keperluan kita. Allahu Robbi!

Kepada yg mahu komen dan memberikan  kata-kata semangat pada yang bertanya soalan di atas, silakan… moga Allah berikan kebaikan dan ganjaran kepada yang sudi. Insya Allah.